MGG 2701

 

Kuasa Yang Tidak Berkuasa

(The Power Of The Powerless)

Muncul di ‘Chiaroscuro’ pada January 29.

 

Terjemahan MT

 

Perdana Menteri Mahathir Mohamad mahu kaum India bersatu-padu di bawah panji-panji MIC. “Kalau mereka tidak bersatu, bererti perpecahan akan berlaku.” Dengan lain perkataan, kalau mereka bersatu, penyatuan pun berlaku. Itu sebabnya MIC  menggunakan kuasa veto mereka  menolak usaha Indian Progressive Front (IPF)  untuk menjadi anggota Barisan Nasional. Presiden MIC, S. Samy Vellu mahukan IPF dibubarkan dan semua ahli  parti itu menjadi ahli MIC pula. Mereka beranggapan usaha ini akan  menyatupadukan orang India di bawah panji-panji Barisan Nasional.

 

 

Boleh jadikah perkara itu? Kemudian, MCA dan Gerakan  harus  bersatu pula di bawah Ling Liong Sik. Oleh kerana PPP (People’s Progressive Party) pada dasarnya adalah sebuah parti kaum  India, ia pun harus dibubarkan untuk menganggotai MIC. Seandainya Gerakan  dan PPP adalah parti multi-kaum, dan bukannya parti perkauman, memang patutlah mereka  bersatu sahaja.

 

Nampak sangat bodohnya perkara ini, bukan?  Tetapi, begitulah halnya dengan harapan Dr. Mahathir.  Sesuatu masyarakat itu tidak bersatu disebabkan   menyokong hanya satu parti politik. Bukannya politk yang menyatupadukan masyarakat seperti yang  dilakukan oleh sesuatu budaya. Malangnya itulah anggapan  setiap ketua kaum di dalam BN, yang bertambah yakin bahawa perkara itu boleh terjadi kalau hanya satu badan masyarakat  yang mewakili  semua kaum itu. Inilah silapnya.

 

Sesuatu masyarakat  dapat bersatu dan maju kalau ia  mampu menyelesaikan masalah yang mencabar kemajuannya. Apabila masyarakat itu menjadi terpinggir daripada para pemimpinnya seperti yang berlaku dalam BN kini, masyarakat itu tidak akan berpatah balik untuk mengizinkan para pemimpin itu  meneruskan usaha mengaibkan mereka.

 

Pandithan telah tersilap langkah berpolitik apabila dia mengisytiharkan taat setia kepada BN. Dia menyekat peluangnya untuk memimpin IPF menyertai barisan pembangkang. Itu sebabnya  BN boleh mengawal peranannya dan dia tidak mampu berbuat apa-apa. Tetapi, BN tidak  boleh melepaskan beliau begitu saja.  Kuasa undi yang sungguh diperlukan  daripada kaum India pimpinannya,  mampu mencetuskan taufan Lunas di masa hadapan.

 

Dr. Mahathir sudah terlalu  mengalut dengan wawasan meganya hinggakan beliau terlupa akan peraturan biasa. Bagaimana mungkin sesuatu  masyarakat itu bersatu sama ada secara berpolitik ataupun mengamalkan budayanya  sedangkan ia mesti taksub hanya kepada pendapat  seorang pemimpin sahaja? Kedua-dua presiden MIC dan juga MCA amat cekap menyingkirkan sesiapa sahaja yang cuba menyanggah kuasa mereka dengan mengemukakan pendapat berbeza mengenai cara memajukan kaumnya.

 

Apabila sesuatu masyarakat itu  menghadapi  masalah yang luarbiasa seperti Sekolah Wawasan ataupun dilema kaum India di ladang-ladang, para pemimpinnya mengambil sikap diam membisu. Rakyat marhaen tidak digalakkan memilh pemimpin untuk mewakili mereka, kerana golongan yang memerintah  yang akan memilih siapa yang patut mewakili rakyat marhaen itu. Isu yang asas dan masalah yang mudah-mudah sengaja diabaikan. Tercetuslah jurang pemisah yang dalam di antara sesuatu masyarakat itu dengan pemimpin  politik mereka.

 

Para pemimpin di akar umbi mengahabiskan masa yang  lama untuk mengkaji  bagaimana caranya  berada di tahap atas tangga kepimpinan parti, sedangkan mereka harus membuat kajian bersama para pemimpin tinggi parti dan menyelesaikan sikap para pengikut yang amat mudah meludah ke arah mereka.  Sikap para pemimpin yang angkuh dan sombong yang diperkuatkan dengan sindiran ketika berucap memberikan kekuatan kepada apa yang mereka cakapkan berbanding dengan apa yang sebenarnya mampu mereka lakukan.   Selalunya apa yang mereka katakan adalah janji-janji palsu hanya layak untuk orang-orang yang otaknya sudah keliru.

 

Persidangan agong  UMNO telah diatur begitu licik sekali lengakp dengan koreografinya hingga menjadikannya satu majlis yang sungguh bergmerlapan sehinggakan issu yang serius tidak layak dibincangkan. Presiden MIC  kerap mencabar sesiapa bertumbuk dengannya  di dipersidangan agong tahunan parti, kalau-kalu mereka tidak puashati dengannya. Presiden MCA  begitu popular di kalangan ahlinya sehinggakan setiap kali dia berucap tidak ada sesiapa yang mahu mendengarnya.

 

Perubahan tidak dapat dilakukan  kalau wujudnya  kumpulan yang terdesak bersatu di bawah kepimpinan seorang pemimpin yang sudah tersedak. Sikap MIC menyerap IPF tidak akan menyatupadukan orang India, tidak juga kalau MCA dan Gerakan bergabung sama-sama. Semua kaum telah berpecah-pecah  di antara satu dengan lainnya dan juga daripada pemimpin mereka. Para pemimpin masyarakat telah mengabaikan pengikutnya seperti juga kerajaan yang mengabaikan  kepentingan dan masalah mereka.

 

Tetapi, dari kalangan mereka itu muncul pula pemimpin yang tidak punyai kesetiaan kepada mana parti politik dan yang sanggup berusaha  menyelesaikan masalah yang ada. Sekaligus mereka mencabar  pemimpin politik itu. Inilah yang berlaku dalam kisah Sekolah Wawasan dan Sekolah Damansara. Para pemimpin politik cuba berusaha merapati  masalah itu tetapi tidak berjaya.

 

Orang yang berkuasa memerlukan sokongan puak  yang tidak berkuasa untuk terus berkuasa. Tetapi, golongan yang tidak berkuasa selalunya  memang mencari   satu tapak kuasa sendirian pula. Inilah satu petua yang telah dilupakan  oleh BN selama ini: sesuatu masyarakat itu menjadi kuat apabila pemimpin yang mewakili mereka muncul dari kalangan mereka jua.